Kentut Vagina, Wanita Usah Malu Baca! Semua Wanita Berkahwin Kena Faham Penjelasan Doktor Ini

Loading...

Bunyinya macam lucu,  ada juga yang malu nak menyebutnya. Tapi malu ke, segan ke, kita orang perempuan kena tahu tentang perkara ni.

Sebab, ia masalah biasa dihadapi oleh wanita yang sudah berkahwin. Jangan tak mengaku!

Itulah pasalnya VK tekankan wanita wajib tahu mengenainya. Supaya kita faham dan tidak terkeliru dengan penjelasan dari mereka bukan pakar yang mungkin menakutkan kita tentang kentut vagina sedangkan ia adalah perkara normal buat wanita.

Penjelasan tentang kentut vagina ini dibuat oleh Dr Erna Nadia yang VK petik dari Facebook beliau.

Kita selalu dimomokkan dengan ayat begini:

‘ Bahaya tau kentut vagina ni, nanti suami lari’

‘ Kentut vagina ini boleh batalkan solat’

‘ Habislah kau dah ada kentut vagina, dah tak umph dah la’

Hurm macam macam ayat penjual nak menakutkan wanita wanita kita.

Kentut vagina adalah angin yang dibebaskan keluar daripada faraj.

Ianya berbunyi seakan kentut dari anus tetapi ianya tidak berbau.
Kenapa berlaku
Dua sebab kenapa berlaku kentut vagina:
1. Udara normal yang berada di dalam faraj.
2. Udara yang datang daripada usus. Ini adalah penyakit dan berlaku bila seseorang ada fistula ( bukaan antara usus dan faraj menyebabkan najis dari usus masuk ke faraj). Dan ini tentu tentulah mempunyai bau.

Jika faraj wanita dijangkiti kuman, ianya tidak akan menyebabkan kentut vagina.

Perlu diketahui bahawa faraj kita mempunyai ruang dan terisi oleh udara di dalamnya. Faraj adalah elastik dan fleksibel. Ianya boleh mengembang dan mengencup kerana ianya terbentuk daripada otot.

Jadi, kenapa berlakunya kentut vagina?
1. Hubungan seksual ( posisi yang tidak betul)
2. Memasukkan sesuatu ke dalam faraj seperti penis, jari, tampon, douche atau bahan lain.
3. Bersenam
4. Mengandung atau menopause
5. Pernah melahirkan anak
6. Batuk yang kuat
7. Prosedur kesihatan seperti kolonoskopi atau melakukan pemeriksaan dengan memasukkan speculum.

Bila sesuatu dimasukkan ke dalam faraj, kandungan udara di dalamnya akan dibebaskan keluar. Kalau tidak, tekanan di dalamnya akan meningkat.Jadi, berlakulah kentut vagina.

Sama macam bersenam, mengandung, dan apa apa prosedur, ianya mengubah kandungan udara di dalam faraj. Sistem badan sudah dicipta hebat oleh Allah SWT, sebab tu udara itu akan dilepaskan.


Bahaya atau tidak?
Jadi, adakah kentut vagina bahaya? TIDAK!

Melainkan jika anda apa penyakit fistula seperti yang disebutkan di atas, perlu lakukan pembedahan.

Atau jika anda berasa sakit/ada darah semasa kentut vagina, terus berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Adakah kentut vagina disebabkan otot rahim yang lemah? Jika anda sudah pernah melakukan hubungan seksual, pernah melahirkan anak, otot rahim mungkin akan lemah sedikit tapi tidak merbahaya.

Jika anda sudah menopause dan berusia, otot rahim juga akan lemah sedikit. Fikir logik, faraj anda adalah otot. Otot menjadi sedikit lemah dengan meningkatnya usia kita.
Apa perlu wanita buat
Jadi, apa yang perlu diamalkan untuk kuatkan otot rahim?

Senaman kegel
Kemut otot di sekeliling faraj selama 10 saat kemudian rehat 10 saat. Buatlah 10 kali setiap sesi. 1-3 sesi setiap hari.
Saya pernah ajar tentang senaman ini di posting meruang.

Apa yang perlu dibuat untuk elakkan kentut vagina?
1. Senaman kegel untuk kuatkan otot.
2. Ubah posisi sewaktu hubungan seksual/ bersenam.
3. Pessary.
Sejenis alat yang dimasukkan ke dalam faraj. Ianya masih boleh menyebabkan udara masuk cuma akan menghalang bunyi sahaja.

Adakah kentut vagina membatalkan wuduk?
Saya sertakan link http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/al-kafili-al-fatawi/1098-al-kafi-418-angin-yang-keluar-daripada-qubul-wanita-adakah-membatalkan-wuduk.

Jika ikut mazhab Syafie dan Hanbali, keluarnya angin dari qubul ( faraj) adalah membatalkan wuduk. Jika ikut mazhab Hanafi dan Maliki, ianya tidak membatalkan wuduk. Kita ikut mazhab Syafie kan? Jadi, batal wuduk.

Tapi tak perlu gusar. Kentut vagina ni bukanlah selalu terjadi pun. Jika anda ragu ragu, terus sahaja ambil wuduk sekali lagi.

Kesimpulannya, kentut vagina adalah NORMAL. Melainkan jika ada anda penyakit fistula.

Anak dara yang tidak pernah melakukan hubungan seksual biasanya tidak akan mengalami kentut vagina.

Berjumpalah doktor jika kentut vagina anda sakit atau mengeluarkan bau.

Tidak perlu jamu/perapat/maskers/douche/meruang untuk kentut vagina. Benda ni semua akan mengundang kentut vagina dan jangkitan kuman sahaja.

Yang penting, jaga kebersihan dengan betul. Bersenam dan jaga makan.

Sumber:  Erna Nadia

 

Loading...

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *